RM20 Juta Laksana Komuniti Pintar Kota Belud 2.0

KOTA BELUD - Perbelanjaan tambahan sebanyak RM20 juta akan digunakan bagi melaksanakan inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 bagi menambah baik Komuniti Pintar Kota Belud 1.0 yang dilaksanakan sejak tahun 2016.

Menteri Komunikasi dan Multimedia  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang melancarkan inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 di sini hari ini berkata RM20 juta berkenaan merupakan tambahan kepada RM70 juta yang telah dibelanjakan pihak kerajaan dan swasta semasa pelaksanaan inisiatif pertama yang lepas.

 

Datuk Seri Dr Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata demikian ketika berucap merasmikan inisiatif itu di sini.

Menurut beliau, di bawah Komuniti Pintar 2.0 berkenaan, sebuah pusat penempatan banjir yang dilengkapi dengan keupayaan digital dikenali sebagai ‘Digital Hall’ bakal diwujudkan dan ia akan berfungsi sebagai sebuah fasiliti yang boleh menyediakan kemudahan capaian Internet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk kegunaan orang ramai. 

 

Mengimbas kejayaan dicapai di bawah inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud 1.0, Datuk Seri Dr Salleh berkata banyak perubahan ketara dapat dilihat terutama penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi di Kota Belud sehingga penduduk daerah itu dapat menikmati jalur lebar 3G dan 4G lebih baik.

Katanya hasil inisiatif berkenaan telah menjadikan pulau tumpuan pelancong di Kota Belud iaitu Pulau Mantanani turut menikmati liputan jalur lebar selular 3G selain menjadikan Kota Belud antara daerah terawal di Malaysia menerima liputan LTE-Advanced.

 

​​​​​​​Menurut Datuk Seri Dr Salleh, sejak inisiatif berkenaan dilaksanakan juga, sebanyak enam Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kota Belud diwujudkan MCMC untuk merapatkan jurang digital dalam memastikan masyarakat Kota Belud tidak ketinggalan daripada kepesatan perkembangan teknologi. 

Katanya PI1M turut menyediakan pelbagai latihan dan program literasi ICT yang memberi manfaat kepada penduduk setempat, selain meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk melalui pelbagai latihan keusahawanan dan sebagainya. 

((BERNAMA))


townhall-(1).PNG