PI1M Tingkat Keuntungan Perniagaan 10 Kali Ganda

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Mengenali Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) hanya secara suka-suka, namun tidak menyangka perkhidmatan itu berjaya meningkatkan keuntungan perniagaannya 10 kali ganda sekaligus mampu menebusi pasaran ke rantau Asia.

Itu luahan penerima Anugerah Usahawan PI1M Peringkat Kebangsaan, Nor Isma Afifi Md Aris, 31, yang menjual produk penjagaan diri berasaskan madu kelulut yang kini ladang pusat penghasilan madu miliknya diiktiraf sebagai antara tempat agropelancongan terbaik di Kuala Nerang, Kedah.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual di kedai emas, memberanikan diri menceburi bidang perniagaan madu kelulut menerusi syarikat JKM Trigona Agro Farm Sdn Bhd bersama suaminya Mohd Riban Zainul@Shafiee, 41, selepas melihat kebolehpasaran industri perniagaan tersebut.

Nor Isma Afifi Md Aris, 31, yang menjual produk penjagaan diri berasaskan madu kelulut


Zulkipli Ibrahim, 26, perniagaan minyak wangi 


Juniadah Mohd Tahir, 43,perniagaan mini popia sejak 2009 mengambil inisiatif pergi ke PI1M
 

“Saya mula-mula bermula daripada rumah, dan keuntungan sekitar RM2,000 sebulan ketika itu ianya dilakukan kami suami isteri dan semuanya berubah setelah saya mengambil keputusan untuk menyertai kursus-kursus yang diadakan oleh PI1M.

“Saya bercadang untuk memperbesarkan lagi kawasan ladang saya antaranya menyediakan tempat peranginan yang selesa untuk orang ramai menginap di kawasan berkenaan dan merasai sendiri madu kelulut daripada sarangnya,” ujarnya kepada Utusan Online selepas menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak ketika Konvesyen Industri Digital Bumiputera (KIDB) di sini hari ini.

Nor Isma yang juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan PI1M Wilayah Utara memberitahu, usahawa bumiputera perlu peka dengan menggunakan teknologi sedia ada terutama dalam bidang pengeluaran, pembangunan produk, pembungkusan dan pemasaran.

Sementara itu, penerima Anugerah Usahawan PI1M Wilayah Selatan, Juniadah Mohd Tahir, 43, berkata, dia tidak mahu ketinggalan melibatkan perniagaan berasaskan Internet memandangkan teknologi itu telah dijadikan platform utama untuk kebolehcapaian pemasaran ke peringkat global.

Dia yang berasal daripada Pontian, Johor itu memulakan perniagaan mini popia sejak 2009 mengambil inisiatif pergi ke PI1M secara sukarela memandangkan ingin mengenali lebih dekat kemampuan platform digital berkenaan.

“Saya kini menerima tempahan sehingga lebih satu tan setiap bulan dan saya terpaksa menggaji lebih banyak pekerja bagi memenuhi permintaan terutamanya memenuhi kehendak pemborong daripada Australia dan Singapura,” kata pemegang Diploma Perakaunan Universiti Sains Malaysia itu.

Manakala bagi Anugerah Usahawan PI1M Sarawak Zulkipli Ibrahim, 26, perniagaan minyak wangi menerusi media sosial bersama keluarganya membuahkan hasil apabila kini produknya telah menembusi pasaran Amerika Syarikat. - UTUSAN ONLINE