Langkawi Daerah Pertama di Kedah Laksanakan Alamat untuk Semua

LANGKAWI - Langkawi menjadi daerah pertama di Kedah dan ketiga di negara ini yang melaksanakan projek Alamat Untuk Semua, sebuah projek penetapan nombor alamat kediaman dengan memanfaatkan sistem teknologi pintar.

Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat hari ini berkata, projek kerjasama Pos Malaysia Bhd, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Pejabat Daerah Langkawi ini telah dimulakan di Pulau Tuba tahun lepas.

Image result for langkawi daerah pertama di kedah laksanakan alamat untuk semua

"(Projek) Ini menjadi sebahagian daripada usaha di bawah program Langkawi Smart Community (Komuniti Pintar) yang turut merancang untuk melaksanakan beberapa buah lagi inisiatif lain tidak lama lagi," katanya semasa majlis penyerahan plak Alamat Untuk Semua itu di sini.

Pengurus Pos Malaysia Kedah/Perlis, Muhammad Faizal Abdul Jalil yang turut berucap dalam majlis itu berkata, sebanyak 15,799 buah premis terlibat di bawah projek ini di Langkawi. "Projek ini bukan hanya akan memudahkan Pos Malaysia membuat serahan pos (kepada pemegang alamat) tapi akan turut memudahkan agensi-agensi lain dalam menyalurkan bantuan mereka dengan lebih cepat," katanya. - Bernama