Kota Belud sebagai Model Pembangunan Daerah


poster
 


Inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjadikan daerah ini sebagai tanda aras dan model pembangunan berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada daerah-daerah lain di Sabah.Inisiatif yang telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak ini menggariskan enam (6) program utama iaitu Peningkatan Infrastruktur Komunikasi, Pembangunan Aplikasi dan Kandungan Tempatan, Pembangunan Keusahawanan dan Industri Pelancongan, Pusat Internet 1Malaysia, Peningkatan Perkhidmatan Pos, dan Sistem Keselamatan dan Pemantauan Aras Sungai.

Dibawah Program Peningkatan Infrastruktur Komunikasi, kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar dan akses kepada liputan 2G dan 3G serta Evolusi Jangka Panjang (LTE) sedang dijalankan dan menjelang suku pertama 2016, akses komuniti tempatan kepada perkhidmatan 2G telah mencapai 86% manakala 3G dan LTE masing-masin mencapai 75.4% dan 6.1%.
“Dengan perluasan liputan 2G dan 3G yang melebihi 75%, penduduk Kota Belud dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar dan pada hujung 2016, liputan 2G dan 3G akan diperluaskan kepada 90% kawasan yang didiami penduduk,” kata Salleh ketika pelancaran inisiatif, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, salleh turut merasmikan Perpustakaan Awam Daerah Kota Belud dan Pusat Internet 1Malaysia di bangunan perpustakaan. Turut hadir ialah Pengerusi MCMC, Datuk Seri Dr. Halim Shafie dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kepenggunaan Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Salleh berkata, dibawah inisiatif Projek Jalur lebar Pinggir Bandar (SUBB), empat Pusat Internet telah dibina di Kota Belud iaitu di Kampung Rampayan Laut, Suang Panggor, Tamu Darat dan yang terbaru, Pusat Internet Pekan Kota Belud.
Salleh berkata Kota Belud, khususnya di kawasan bandar, kini bukan sahaja dapat menikmati liputan 2G dan 3G tetapi juga LTE dan kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan kemudahan liputan dengan membina menara baru dan pemasangan pemancar serta memanjangkan rangkaian gentian untuk memastikan perkhidmatan yang berkualiti.

Beliau berkata salah satu sektor yang akan menikmati limpahan dari inisiatif itu ialah sektor pelancongan, termasuk aktiviti pelancongan di Pulau Mantanani dimana ia merupakan salah satu pulau peranginan yang popular dikalangan pelancong tempatan dan asing. Menurut beliau, pelbagai kraftangan dan pakej pelancongan dapat dipasarkan melalui internet dengan mewujudkan perkhimatan di Pusat Internet 1Malaysia dan aplikasi mobil yang membolehkan penduduk tempatan menikmati pendapatan tambahan.
“Melalui usaha-usaha MCMC dan sektor swasta, sistem rangkaian radio kecemasan VHF telah dibangunkan. Sistem Keselamatan dan Pemantauan Paras Air Sunga yang melibatkan pemasangan sensor di beberapa sungai dan 12 unit TV Litar Tertutup (CCTV) di sekitar Kota Belud akan membolehkan keadaan banjir dipantau secara langsung oleh pihak berkuasa,” katanya.
Mengenai pemasangan kemudahan Wi-Fi kepada penduduk dan pengunjung di Kota Kinabalu, Salleh berkata ia akan dilaksanakan sebaik sahaja sedikit masalah teknikal yang berlaku telah diselesaikan. – BERNAMA