Bengkel Majalah Sekolah Jana Kreativiti Pelajar

KOTA BELUD, 1 Mac (Bernama) - Hasrat pelajar-pelajar sekolah di Kota Belud untuk menghasil dan memiliki majalah sekolah tahunan yang lebih kreatif dan berimpak tinggi, bakal tercapai dengan penganjuran Bengkel Pembangunan Majalah Digital Sekolah.
 
Berlangsung di Pusat Internet 1Malaysia Pekan Kota Belud baru-baru ini, penganjuran Bengkel Pembangunan Majalah Digital Sekolah itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan literasi komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) serta menjana kreativiti dan inovasi dalam kalangan guru dan para pelajar menerusi pembangunan kandungan kreatif digital.
 
Di samping itu, bengkel berkenaan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), turut memberi peluang kepada guru-guru dan para pelajar untuk melibatkan diri dalam penghasilan majalah sekolah tahunan dalam bentuk digital sekaligus juga menyumbang kepada kemahiran IT baharu kepada golongan yang terlibat.
 
Di bawah program tersebut, guru-guru dan para pelajar dididik bagaimana untuk menghasilkan majalah digital sekolah dengan lebih kreatif dengan menggabungkan elemen-elemen seperti teks, grafik serta elemen-elemen multimedia seperti video dan animasi. Mereka juga diberi latihan untuk menggunakan landasan perisian authoring tool iaitu eStudio Professional dalam membangunkan majalah digital sekolah masing-masing.
 
Pada masa yang sama, bengkel tersebut juga turut diperluaskan ke sekolahsekolah di sekitar Kota Belud bagi memastikan kesinambungan pembangunan kompetensi warga guru dan pelajar selain menghargai kepelbagaian komuniti di situ.
 
Para guru dan pelajar-pelajar sekolah daripada 31 buah sekolah terpilih iaitu 10 buah sekolah menengah dan 21 buah sekolah rendah di sekitar daerah Kota Belud turut serta dalam sesi bengkel terbabit. Sesi bengkel yang serupa bakal diadakan pada bulan Mei nanti di lokasi yang sama.
 
Kota Belud menjadi destinasi kedua selepas Kemaman untuk penganjuran bengkel yang dimaksudkan itu. Sesi bengkel berkenaan merupakan salah satu daripada enam program teras yang dilaksanakan di bawah inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud. Lima lagi program teras yang dimaksudkan itu adalah meningkatkan infrastruktur komunikasi, pembangunan industri keusahawanan dan pelancongan, pusat internet, penambahbaikan perkhidmatan pos serta sistem pemantauan keselamatan dan paras air sungai.
 
SUMBER : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
 
 
 UNTUK MAKLUMAT LANJUT,SILA HUBUNGI: Nama : Markus Lim Han King Tel : 019 600 1694
 Emel : markus.lim@cmc.gov.my
 
--BERNAMA