AFA Selesai Isu rumah Tanpa Alamat di Langkawi


PEGAWAI Daerah Langkawi, Isahak Murat (dua dari kiri) melekatkan nombor alamat kediaman sebuah rumah di Kampung Penarak, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Isu hampir 16,000 rumah dan premis di pulau ini yang tidak mempunyai alamat lengkap selesai hari ini menerusi pelaksanaan projek Alamat Untuk Semua (AFA) anjuran Pos Malaysia Berhad.

 

Pelaksanaan inisiatif dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggunakan teknologi pintar itu menjadikan Langkawi daerah pertama di Kedah dan ketiga di negara ini melaksanakan projek penetapan nombor alamat kediaman bagi kemudahan pelbagai pihak.

 

Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat, berkata projek perintis AFA dimulakan sejak tahun lalu, membabitkan 630 rumah di Pulau Tuba sebelum diperluaskan kepada rumah dan premis di seluruh kampung dalam daerah Langkawi.

 

"Projek ini menjadi sebahagian daripada usaha di bawah program Komuniti Pintar Langkawi yang turut merancang untuk melaksanakan beberapa lagi inisiatif lain tidak lama lagi.

 

"Projek ini bermatlamat murni iaitu bagi memastikan semua premis mendapat alamat yang lengkap, seiring dengan kemajuan semasa," katanya pada majlis penyerahan plak AFA di Pejabat Daerah Langkawi di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengurus Pos Malaysia Kedah/Perlis, Muhammad Faizal Abdul Jalil.

 

Sementara itu, Muhammad Faizal berkata, sebanyak 15,799 buah rumah dan premis terbabit di bawah projek AFA di Langkawi.

 

"Projek ini bukan hanya akan memudahkan Pos Malaysia dalam membuat serahan pos (kepada pemegang alamat) tapi turut memudahkan agensi lain dalam menyalurkan bantuan dengan lebih cepat," katanya.